Monday, June 21, 2010

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat meletakkan kepercayaan mereka kepada pihak berkuasa daripada terpengaruh dengan dakyah pembangkang berhubung isu militan Jemaah Islamiah (JI).

Beliau berkata perkara itu adalah sesuatu yang benar dan bukanlah perkara yang diada-adakan untuk mengalih perhatian rakyat seperti dakwaan sesetengah pihak.

"Isu itu (militan JI) merupakan soal keselamatan negara dan sememangnya kerajaan mengetahui mengenai adanya penglibatan daripada kalangan pensyarah kanan di universiti tempatan dalam kegiatan militan tersebut," katanya ketika diminta mengulas tahap keselamatan negara ekoran pendedahan mengenai ancaman JI..

"Jadi sebab itulah kita mesti percaya dan yakin bahawa ini satu ancaman dan kita serah kepada pihak berkuasa sebab pihak berkuasa kita terutama sekali pihak polis dan anggota perisik memang mempunyai banyak pengalaman dalam menangani ancaman JI dan kumpulan militan," katanya.

Najib memberitahu pemberita selepas melancarkan Projek Pembinaan Limbungan Kapal NGV Tech Sdn Bhd sempena lawatan kerja beliau ke kawasan Parlimen Bagan Datoh di Bagan Datoh hari ini, laporBernama.

Menurutnya, berdasarkan keberkesanan tugas yang dilakukan pihak keselamatan dalam menangani isu-isu keganasan, kerajaan dapat menghindarkan
sebarang insiden yang meragut nyawa dan kerosakan harta benda seperti yang berlaku di negara-negara lain.

Beliau berkata, segala tindakan yang dilakukan adalah untuk tujuan pencegahan kerana tidak mahu menyesal nanti dan kerajaan dipersalahkan kononnya tidak mengambil langkah pencegahan.

"Jadi kita mesti ada kepercayaan kepada anggota polis dan pihak berkuasa yang terlibat menjaga keselamatan negara bahawa mereka mampu menghindar negara kita daripada sesuatu yang berlaku.

"Kalau kita meragui perkara ini dan kalau sesuatu berlaku (nanti) kita akan menyesal dan bila berlaku kerajaan pula akan dipersalahkan kononnya kita tidak mengambil tindakan pencegahan tapi bila kita ambil tindakan pencegahan mereka kata pula kita ada-adakan isu ini," katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berharap rakyat tidak terpengaruh dengan dakwaan yang dimainkan pembangkang kerana mereka hanya cuba mengeksploitasi sesuatu isu tanpa memikirkan fakta demi keuntungan politik.

"Jadi ini sengaja dimainkan parti pembangkang. Biasalah...kita buat pun mereka kata kita tak betul, kita tak buat pun dia kata kita tak betul. Jadi rakyat mesti faham ini politik," kata Najib.

Khamis lepas, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata isu mengenai JI hanya helah Barisan Nasional (BN) untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu besar lain yang timbul ketika ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membidas Anwar kerana mengeluarkan kenyataan yang "gila dan tidak bertanggungjawab" berhubung ancaman kumpulan pengganas di negara ini.

Beliau berkata kenyataan Anwar bahawa pendedahan tentang ancaman kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) baru-baru ini merupakan cubaan pihak kerajaan untuk mengalih perhatian rakyat langsung tidak boleh diterima.

"Ia merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab langsung, satu kenyataan yang saya percaya telah menidakkan kesungguhan pihak berkuasa yang berada di dalam keadaan tertekan, di mana kita tidak boleh mendedahkan (maklumat tentang keselamatan) kepada khalayak ramai," katanya.

Hishammuddin yang juga naib presiden Umno dan ketua Umno bahagian Semberong berkata polis berbuat apa sahaja untuk memastikan rakyat negara ini termasuk Anwar "dapat tidur lena pada waktu malam."

Bercakap selepas menghadiri mesyuarat Perwakilan UmnoBahagian Semberong, beliau berkata, kerajaan tidak tergamak untuk empermain-mainkan isu keselamatan negara dan dakwaan Anwar itu hanya membuktikan bahawa pemimpin pembangkang itu sanggup "berkata dan berbuat apa sahaja" untuk menidakkan tindakan serta kejayaan kerajaan.

"Jikalau itu pun dia (Anwar) boleh tuduh kita mereka-reka, satu hari nanti jika JI (Jemaah Islamiah) meletup dekat rumah dia, itu pun dia akan tuduh Umno juga," katanya.

Sementara itu beliau juga mencabar ketua umum PKR itu menjelaskan sama ada bekas pemimpin PKR seperti Dr Halili Rahmat, Dr Chandra Muzaffar dan Sallehuddin Hashim turut ditawarkan RM2 juta untuk keluar daripada parti pembangkang.

"Kesemua mereka mempunyai hubungan rapat dengan Anwar, tetapi mereka bukan wakil rakyat. Kita hendak tahu sama ada tuduhan yang serupa turut dilemparkan terhadap mereka," katanya

No comments:

Post a Comment

Darkpress : Kasi peluang nak komen apa pun leh komen...Tak ada Hal Punya....AKU BUKAN BEKERJA UNTUK UMNO /BN